comscore
Tumpuan :
Sukan

Ketua jurulatih Speedy Tigers dijangka diumumkan hari ini

Foto ihsan MHC


PETALING JAYA: Pengumuman ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan  yang baharu dijangka diumumkan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal hari ini.

Empat calon yang disenarai pendek KHM untuk menggalas tanggungjawab itu ialah bekas pengendali kebangsaan iaitu Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Sarjit Singh selain dua calon dari luar negara, Brendan Caralon dari Afrika Selatan serta Glenn Turner dari Australia.

Bagi Dharma Raj, beliau  menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka kerana pihak tersebut sudah diberikan amanah untuk membuat keputusan yang terbaik.

Beliau yang merupakan pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia sejak 2020 memohon jawatan itu kerana mahu cabaran yang lebih besar iaitu membawa Speedy Tigers ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik

Kesemua calon sudah melalui proses temu duga pada petang Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, kesemua empat calon jurulatih tersebut mengemukakan perancangan dan hala tuju pasukan bagi menunjukkan tanda kesungguhan mereka untuk melatih Speedy Tigers.

Dalam pada itu, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, siapa pun jurulatih yang dipilih perlu berupaya membawa Speedy Tigers pergi jauh dan kembali digeruni di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, ia bukan sekadar mengisi kekosongan, sebaliknya perlu berwibawa mengubah landskap sukan tersebut, terbuka, tidak terpengaruh dengan persekitaran dan berani membuat perubahan drastik.

“Dua calon tempatan adalah kitar semula kerana mereka pernah menjadi jurulatih kebangsaan. Saya tiada masalah sama ada Sarjit atau Dharma Raj, namun apa yang penting mereka perlu lihat ke hadapan dan apa keperluan pasukan,” kata Pekan.

“Apa yang penting, siapa pun jurulatih perlu lihat kemampuan untuk pergi jauh. Bukan sekadar pada Sukan SEA dan peringkat Asia, tapi Piala Dunia dan Sukan Olimpik,” tambah beliau.

Cabaran pertama jurulatih baharu itu ialah menyediakan skuad bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 pada Mei depan.

Loading...
Terkini