JOHOR BAHRU: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dapat menyediakan peruntukan dana kepada skuad hoki remaja lelaki dan wanita sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia di Oman, November depan.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, peruntukan itu amat diperlukan bagi menampung kos yang membabitkan tiket penerbangan, logistik dan penginapan untuk barisan pemain dan kejurulatihan kedua-dua pasukan lelaki dan wanita.
Katanya, beliau akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat.
“KBS menerusi MSN ada memberi peruntukan ketika kita menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur tahun lalu dan pada tahun ini tiada peruntukan diberikan. Oleh itu saya ingin mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) bagi memohon peruntukan dana.
“Peruntukan itu penting bagi persiapan ke Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di India dan kita perlu layak apabila beraksi di Piala Remaja Asia nanti dan salah satu kekangan yang kami hadapi skuad hoki remaja tidak termasuk dalam program MSN.
“Walaupun mereka bermain untuk negara dan akan berusaha untuk layak ke Piala Dunia Remaja tapi segala perbelanjaan perlu ditanggung oleh KHM dan ini bukan nak mengadu tapi saya faham di MSN juga ada kekangan wang,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2024, di sini petang tadi.
Beliau menambah situasi itu meletakkan kekurangan kepada pasukan remaja kebangsaan tatkala beberapa pasukan negara yang mempunyai kewangan kukuh boleh beraksi di luar dan mendapat pendedahan yang terbaik dengan menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.
Jelasnya, jika mengadakan aksi di luar negara sekurang-kurangnya perbelanjaan mencecah RM500,000 selain perlu membayar gaji kepada jurulatih dan elaun pemain-pemain yang harus dibayar oleh KHM.
“Walaupun kami menghadapi kekangan kewangan tapi saya bangga dengan pengorbanan yang dilakukan pihak kejurulatihan dan pemain kerana dengan segala serba kekurangan mereka masih lagi berlatih dengan gigih dan cuba yang terbaik mengharumkan nama Malaysia.
“Apa yang harapkan, peruntukan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia Remaja dengan aksi Piala Remaja Asia yang membabitkan pasukan remaja lelaki dan wanita sekurang-kurangnya kita memerlukan sekurang-kurang RM700,000,” kata Subahan.