Tumpuan :
Sukan

Kim Swee diumum jurulatih baharu Persis Solo, esok?

Datuk Ong Kim Swee. FOTO FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Kelab Indonesia, Persis Solo dilapor menjadi destinasi baharu bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Spekulasi itu hangat diperkatakan ketika ini selepas kelab berkenaan memaklumkan akan mengumumkan kehadiran ketua jurulatih baharu bagi skuad Laskar Sambernyawa, esok.

“Ketua jurulatih baharu Laskar Sambernyawa akan tiba di Solo pada Isnin (esok) dan segera memimpin persiapan pasukan untuk perlawanan seterusnya menentang Barito Putera (3 Disember ini),” kata kelab itu.

Meskipun Persis Solo tidak mendedahkan nama ketua jurulatih baharu itu, namun media Indonesia, transferliga1 mendakwa individu berkenaan adalah Kim Swee.

Persis Solo ketika ini menghuni tangga ketiga tercorot dalam carta liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan.

Terdahulu, Kim Swee menjelaskan beliau memerlukan masa dua atau tiga hari untuk menentukan destinasi baharu selepas tidak menyambung kontrak bersama Sabah FC.

Khamis lalu, pengendali berusia 53 tahun itu mengumumkan perpisahan dengan Sang Badak selepas kontraknya berakhir bulan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini