
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona berjaya melakukan kebangkitan untuk menewaskan lawan dari India, Tanya Hemanth 15-21, 21-11, 21-13 di pusingan pertama Masters Thailand 2025, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Kisona mara ke pusingan kedua dan dijadual berdepan wakil Indonesia, Putri Kusuma Wardani yang sebelum itu menewaskan pemain Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta.
Untuk rekod, pertembungan antara Kisona dan Putri Kusuma, esok adalah yang kedua buat kedua-dua pemain dengan kemenangan sebelum ini diraih wakil Indonesia berkenaan di Terbuka Taiwan, tahun lalu.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki, Jacky Kok turut menempah tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil India, Ayush Shetty 21-15, 21-17.
Turut mengekori kemaraan adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin yang menewaskan lawan juga dari India, Mithun Manjunath 21-8, 21-15 dalam tempoh 40 minit.
Jacky dijadual menentang lawan dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Aidil Sholeh berdepan wakil China, Wang Zhengxing.
Dalam acara beregu campuran, gandingan Loo Bing Kun-Ho Lo Ee berjaya melakar kemenangan ke atas pasangan Israel, Misha Zilberman-Svetlana Zilberman dengan keputusan 21-13, 21-6.
Bing Kun-Lo Ee dijadual berdepan Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil dari Indonesia di pusingan kedua.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.