comscore
Tumpuan :
Sukan

KL City FC benam Sabah

FOTO : NSTP

KOTA KINABALU: Sabah FC terpaksa akur untuk melupakan aksi seterusnya dalam saingan Piala FA musim ini selepas tewas 2 – 1 di tangan KL City FC pada perlawanan suku akhir di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Skuad Sang Badak yang pada awalnya kelihatan yakin selepas membuka tirai gol pada babak pertama ditambah penguasaan permainan sepanjang 90 minit perlawanan terpaksa menerima hakikat kekalahan mereka.

Sabah mendahului jaringan 1-0 pada minit keenam perlawanan menerusi sepakan Gabriel Peres selepas Jailton Paraiba dijatuhkan di kotak penalti KL City FC, memberi kegembiraan awal kepada pasukan tuan rumah untuk mengatasi lawan.

Gol yang mengecewakan pasukan pelawat itu bagaimanapun hanya mampu bertahan kira-kira 23 minit sebelum KL City berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil tendangan kencang kaki kiri Romel Morales pada minit ke-29.

FOTO : NSTP

Gembira dengan gol berkenaan, KL City FC terus mengasak Sabah sebelum sekali lagi skuad bimbingan Bojan Hodak itu berjaya menjaringkan gol melalui T Saravanan pada minit ke-44 sekali gus mengubah situasi Sabah yang mula tertekan.

Saravanan mendapat peluang keemasan berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat selepas kemaraannya gagal dihalang Rizal Ghazali yang berseorangan di kawasan penalti tuan rumah.

Bersambung babak kedua, permainan semakin panas berikutan situasi Sabah yang tertekan selepas ketinggalan 2-1 terpaksa bekerja lebih keras untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.

Sabah memiliki peluang bersiri menerusi sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti di hadapan gawang KL City FC pada minit ke-68 disusuli sepakan sudut seminit kemudian, namun masih gagal.

KL City FC yang lebih banyak bertahan dan hanya sekali sekala melancarkan serangan ke arah tuan rumah pada minit-minit akhir permainan akhirnya menarik nafas lega apabila pengadil membunyikan wisel penamat selepas masa tambahan lima minit tamat.

Loading...
Terkini