comscore
Tumpuan :
Sukan

KL City mampu duduki kelompok 5 terbaik Liga Super – Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap Penaung KL City Fahmi Fadzil (kiri), Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard pada sesi penyerahan jersi pada Malam Eksklusif Bersama Patron KL City FC, dan Ahli- Ahli Jawatankuasa Eksekutif KLFA yang baharu malam tadi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Skuad City Boys diyakini mampu berada dalam kelompok lima terbaik di Liga Super sekiranya kelab itu diuruskan dengan baik.

Penaung Kuala Lumpur (KL) City FC, Fahmi Fadzil menaruh keyakinan bahawa barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diketuai presiden Syed Yazid Syed Omar dapat membawa perubahan bukan sahaja untuk persatuan itu tetapi juga buat KL City.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi, bagaimanapun mengakui cabaran besar terpaksa diharungi barisan kepimpinan persatuan itu terutama dalam usaha untuk menyelesaikan isu tunggakan pemain dan pegawai pasukan City Boys.

“Niat kita cuma satu untuk pastikan KLFA dan KL City FC berada pada satu kedudukan terutama kewangan yang lebih stabil dan mampan di mana beberapa perkara kita perlu teliti.

“Sekiranya diuruskan dengan baik, saya percaya KL City wajar berada dalam kelompok lima teratas liga. Kita akan berusaha mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan pasukan akan bekerja keras.

“Syed Yazid memaklumkan, hujung bulan ini DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) akan membantu. Namun, kita juga akan melihat dan meneliti beberapa penaja yang bersedia untuk bersama.

“Paling penting kita meneliti beberapa isu berbangkit sebelum ini untuk kita uruskan dengan baik dan tertib,” katanya kepada pemberita selepas majlis malam eksklusif bersama patron KL City dan barisan kepimpinan KLFA yang baharu, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Syed Yazid menjelaskan bahawa pihaknya akan berusaha menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang kebanyakannya berbaki tiga bulan setengah.

Beliau berkata, satu bulan tunggakan akan diselesaikan hujung bulan ini selepas mendapat dana RM1 juta daripada DBKL dan selebihnya akan diusahakan untuk mendapatkan dana daripada penaja.

“Setakat ini saya tidak boleh umum lagi berapa penaja yang akan masuk, tapi ia mampu untuk menampung perbelanjaan musim ini.

“Pemain sudah tentu mereka minta gaji tertunggak, Insya-Allah akhir bulan ini kita akan selesaikan RM1 juta dahulu untuk KL City,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini