comscore
Tumpuan :
Sukan

KLFA nafi gaji tertunggak empat bulan

Foto: KLFA/ Facebook

KUALA LUMPUR: Hanya gaji Ogos dan September yang belum dilunaskan buat pemain ‘The City Boys’ dan akan diselesaikan dalam masa terdekat, itu penjelasan Presiden KLFA Khalid Abdul Samad  menafikan berlaku tunggakan gaji selama empat bulan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan baru-baru ini oleh sebuah akhbar tempatan yang menyatakan kami tidak membayar gaji pemain selama empat bulan, itu agak tersasar jauh daripada kebenaran. “Kami tidak pernah lebih dua bulan tidak bayar gaji, (sekarang ini hanya) Ogos dan September sahaja. Gaji Ogos akan dibayar selewat-lewatnya esok dan gaji September tarikh ditetapkan hingga 7 Nov ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid memaklumkan pihaknya berusaha keras memastikan pengurusan pasukan sentiasa berada dalam landasan terbaik untuk mengurus segala kebajikan terutamanya pembayaran gaji kepada pemain serta kakitangan KL City FC.

Walaupun sedang dihimpit isu tunggakan gaji,  Khalid positif terhadap kemampuan skuadnya menempah tiket ke final Piala Malaysia seterusnya menjulang piala berprestij itu mengulangi kejayaan edisi 2021.

Kuala Lumpur akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, esok untuk perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia selepas tewas 1-2 pada aksi pertama di tempat sendiri.

Beliau yakin skuad The City Boys yang dikendalikan  Nenad Bacina akan  menampilkan permainan bertenaga.

Pada perkembangan sama, Pengurus Besar KL City FC Stanley Bernard memohon maaf kepada barisan pemain yang terkesan dengan isu tunggakan gaji berkenaan dan akan menggunakan segala kaedah untuk menyelesaikannya.

-BERNAMA-

Loading...
Terkini