comscore
Tumpuan :
Sukan

Klopp terkejut Firmino mahu tinggalkan Liverpool

FOTO: REUTERS

LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui dia terkejut dengan keputusan Roberto Firmino yang mahu meninggalkan Liverpool selepas berakhirnya Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Firmino, 31 tahun, membuat keputusan itu bagi mencari cabaran baharu di kelab lain.

“Memang saya agak terkejut. Ada dua pilihan buatnya dan dia memilih jalan ini.

“Saya menghormatinya dan ia adalah normal dalam hubungan panjang seperti ini dan antara Bobby dengan kelab serta pemain-pemain,” kata Klopp.

Penyerang kelahiran Brazil itu sudah melakukan lebih 350 penampilan bersama Liverpool sejak berpindah dari Hoffenheim pada 2015.

Sepanjang tempoh itu, Firmino meledak 108 gol termasuk jaringan ketika membelasah Manchester United, hujung minggu lalu dan melakukan 79 bantuan jaringan.

Untuk rekod, Firmino sudah memenangi trofi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga bersama Liverpool.

Liverpool tidak ketandusan penyerang sekiranya Firmino meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Pembelian baharu, Darwin Nunez dan Cody Gakpo menyertai Salah, Luis Diaz dan Diogo Jota bagi membarisi jentera serangan Klopp.

Skuad kendalian Klopp akan bertandang ke Bournemouth malam ini dan berpeluang merampas seketika tangga keempat liga daripada Tottenham yang akan menentang Nottingham Forest selepas itu.

Loading...
Terkini