KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus memberi kepercayaan kepada barisan jurulatih skuad lelaki negara diketuai Ahmad Jais Baharun untuk tempoh setahun lagi selepas berpuas hati dengan pencapaian yang diraih termasuk memenangi emas acara regu Piala Dunia dan Piala Raja Thai.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata barisan kejurulatihan ini berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sejak mereka dilantik pada Februari tahun lalu.
“Bila kita kekalkan mereka (untuk tempoh setahun lagi) maknanya KPI mereka tercapai. Mereka adalah satu pasukan jurulatih yang agak bagus kerana selalu berbincang bukan sahaja dengan saya tetapi bersama pihak pengurusan lain.
“Mereka berjaya menaikkan pemain sedia ada yang ternama untuk menjadi lebih hebat, jadi barisan kejurulatihan yang sedia ada kita tidak akan ubah. Kalau ada perubahan pun mungkin dari segi pertambahan bergantung kepada jumlah pemain dalam satu skuad yang dibenarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Jadi khidmat mereka akan dilanjutkan setahun lagi (sehingga hujung 2025),” kata Sumali selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM semalam.
Bagaimanapun, PSM bakal meletakkan KPI yang lebih tinggi buat Ahmad Jais dan tiga pembantunya, Aswadi Abdullah, Ahmad Zain dan Zulkarnain Arif untuk saingan tahun depan membabitkan tiga kejohanan besar Piala Asia, Piala Raja Thai dan Sukan SEA Thailand.
“KPI yang baharu memang penting selepas kita menjuarai acara regu Piala Dunia dan bagaimana untuk mengekalkan momentum itu. Begitu juga dalam acara beregu (selepas memenangi emas di Piala Dunia) cuma agak terkilan dalam dua tiga kejohanan sebelum ini ia tidak dipertandingkan lebih kepada acara quadrant.
“Kita juga harus memikirkan bagaimana untuk memecahkan tembok muncul juara acara berpasukan selepas dua kali final (Piala Dunia dan Piala Raja Thai) tak bernasib baik, hanya muncul naib juara. Kita akan berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk mempunyai tiga regu yang kuat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.