comscore
Tumpuan :
Sukan

Korea Selatan sebenarnya lebih ‘stress’

Pan Gon merangka percaturan dalam latihan menjelang pertemuan menentang Korea Selatan. FOTO: Ihsan FAM

DOHA: Menjelang pertemuan Harimau Malaya menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini, skuad bimbingan Jurgen Klinsmann itu dilihat lebih tertekan berbanding pasukan kendalian Kim Pan Gon.

Korea Selatan selepas dua perlawanan,  sebenarnya masih tercari-cari rentak sebenar mereka.

Menang 3-1 ke atas Bahrain pada perlawanan pertama, Korea nyata cemas diasak Jordan aksi berikutnya dan bernasib baik terikat 2-2, itupun hasil jaringan sendiri Yazan Al-Arab pada masa kecederaan.

Syamer Kutty Abba (kanan) tidak mahu Harimau Malaya pulang tangan kosong.

“Itu perlawanan yang mana anda akan belajar banyak daripadanya,” kata Klinsmann.

Meskipun hanya memerlukan  keputusan seri berdepan Harimau Malaya, Korea mahukan jaringan besar untuk memintas Jordan yang dijangka mampu menjinakkan Bahrain.

Koren dan Jordan kini terikat empat mata, tetapi Jordan mendahului Kumpulan E hasil perbezaan gol.

Bagi Harimau Malaya, tekanan untuk ke fasa kalah mati sudah terlerai, cuma keazaman yang ada di dada pemain kini untuk mencari penawar sekurang-kurangnya mencipta kejutan dan memperbaiki aksi hambar saingan kumpulan pada tiga penampilan edisi lalu, 1976, 1980 dan 2007.

Memang sukar tetapi bukan mustahil, tiga ‘sejarah’  lalu mungkin boleh menjadi pendorong semangat kebangkitan.

Pada 1980, kelayakan Sukan Olimpik Moscow, Malaysia mengejutkan Korea Selatan 2-1 hasil jaringang Bakri Ibni dan James Wong.

Lima tahun kemudian, juga di Stadium Merdeka, pada kelayakan Piala Dunia 1986, Malaysia mencatat lagi kejutan, menang 1-0 hasil jaringan Dollah Salleh.

Paling menarik Sukan Asia 2018 di Indonesia, Malaysia menang 2-1 yang menyaksikan Safawi Rasid meledak kedua-dua gol skuad kebangsaan.

Perlawanan yang pasti masih diingati bintang Korea Selatan, Son Heung Min yang turut beraksi pada perlawanan itu.

Apa yang pasti kebijaksanaan Pan Gon tetap dinantikan untuk menebus dua kekalahan perlawanan kumpulan sebelum ini.

Antara yang mahu membuktikan keajaiban, pemain tengah Syamer Kutty Abba yang berharap kembali mendapat kepercayaan Pan Gon.

“Terus terang, kita nak dapatkan mata sebab kita tak boleh kalah dengan cara begini, kita tak boleh pulang dengan tangan kosong,” ujar pemain kelab Harimau Selatan itu.

Loading...
Terkini