comscore
Tumpuan :
Sukan

KPG tak panik HM dilabel ‘harimau tidak bergigi’

Pan Gon memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan pertama Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

KUALA LUMPUR: Selepas terpaksa mengetepikan tiga pemain iaitu Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales daripada panggilan, kelmarin skuad negara terpaksa menggugurkan Syafiq Ahmad susulan masalah kecederaan hamstring.

Krisis kecederaan khususnya membabitkan pemain utama di jentera serangan menjadikan skuad bola sepak kebangsaan dilabel ‘harimau tidak bergigi’ bagi menghadapi baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan.

Malah, situasi itu turut diburukkan apabila pengendali, Kim Pan Gon mengesahkan mereka masih perlu mengenalpasti tahap kecederaan seorang lagi penyerang, Darren Lok yang turut mengalami kecederaan hamstring.

Pan Gon mengakui situasi itu memberi kesan kepada perancangannya untuk mengharungi dua aksi penting itu, namun dia percaya pemain yang dipanggil memiliki kualiti tersendiri dalam misi meraih dua kemenangan dalam misi melangkah ke peringkat seterusnya.

“Ini satu situasi yang sukar kerana kita berdepan masalah di bahagian serangan. Tetapi kita masih ada pemain yang mampu menjalankan tanggungjawab, jadi kita akan mencari pemain yang sesuai dan terbaik untuk komposisi kita.

“Kita tidak akan berputus asa, terus memandang ke depan dan kekal positif untuk berjuang dengan nama Malaysia,” kata Pan Gon.

Dalam masa sama, Pan Gon mengakui ketiadaan Faisal dan Arif sememangnya satu kehilangan besar namun pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan bola sepak tidak bergantung kepada sesetengah pemain semata-mata.

“Sudah tentu kehadiran dua pemain ini akan memperkemas jentera serangan kita tetapi bola sepak adalah sukan yang berlainan. Kita tidak hanya bergantung kepada satu atau dua pemain.

“Kita bermain secara satu pasukan dan mencari jalan untuk menjadi kuat. Saya percaya pemain lain memiliki kualiti yang sama tetapi motivasi mereka lebih tinggi.

“Ini akan memberi peluang yang terbaik untuk mereka memberi cabaran dalam merebut tempat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini