comscore
Tumpuan :
Sukan

KRM buat laporan polis kes pecah amanah libatkan kakitangan

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank badan induk itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan KRM, kejadian pecah amanah yang belum diketahui jumlah kerugian itu disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya yang tidak dapat dihubungi dan dikesan.

“Kakitangan tersebut disyaki memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai seorang daripada penandatangan cek.

“Dia juga kemudiannya memalsukan tandatangan untuk membuat pengeluaran-pengeluaran wang tunai daripada bank,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, KRM akan membantu siasatan pihak polis bagi membolehkan tindakan undang-undang sewajarnya diambil.

KRM dalam pada itu tetap meneruskan aktiviti-aktiviti dirancang untuk hujung tahun ini termasuk menjadi tuan rumah Kejohanan Ragbi Asia Lelaki Bawah 19 tahun melibatkan empat pasukan di Padang Astaka, Petaling Jaya dari 14 hingga 18 Disember.

Kejohanan melibatkan pasukan dari Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia itu adalah pusingan kelayakan bagi Kejohanan Ragbi Dunia Piala Remaja 2023. – BERNAMA

Loading...
Terkini