comscore
Tumpuan :
Sukan

Kuching City bangkit benam KL City

Antara aksi Kuching City menentang KL City pada saingan Piala FA. – FOTO: Ihsan Kuching City FC

KUALA LUMPUR: Kuching City FC (KCFC) bangkit tiga kali untuk menewaskan KL City FC 3-2 dalam aksi 120 minit di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekali gus mara ke suku akhir Piala FA 2024.

Jaringan kemenangan pemain gantian, Zahrul Nizam Joe Kifli pada masa tambahan membolehkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu menempah pertemuan antara Selangor FC (SFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) di suku akhir nanti.

Keputusan ini pasti memeritkan buat KL City FC apatah lagi selepas jaringan kemenangan mereka menerusi Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-90 dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum VAR turut menafikan penalti buat mereka pada masa tambahan.

Pada aksi terbabit, KL City FC mengancam menerusi percubaan Paulo Josue yang sedikit tersasar pada minit keempat disusuli rembatan Declan Lambert mudah ditangkap Shahril Sa’ari empat minit berselang.

Gerakan Declan menerusi bahagian sayap kiri KL City FC tidak dapat dihalang pertahanan KCFC dan hantarannya disudahkan Haqimi Azim Rosli untuk gol pembukaan pada minit ke-13.

Bagaimanapun, KCFC kembali membuka permainan selepas percubaan melencong Filemon Anyi berjaya menewaskan Azri Ghani untuk gol penyamaan pada minit ke-25.

KL City FC lega apabila jaringan kedua daripada Paulo Josue pada minit ke-35 disahkan VAR dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, KCFC lebih mengasak untuk memburu gol penyamaan dan usaha keras mereka berhasil selepas hantaran lintang Pedro Henrique ditanduk masuk Nur Shamie Iszuan Amin pada minit ke-67.

Gallifuoco berjaya menjaringkan gol buat KL City ketika saingan berbaki seminit namun gol itu tidak disahkan VAR sekali gus perlawanan diheret ke masa tambahan.

KL City FC beroleh peluang untuk mendapatkan gol kemenangan di awal masa tambahan separuh masa kedua selepas S Sharvin dijatuhkan dalam kotak penalti namun pengadil, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah yang meneliti monitor tidak memberikan penalti kepada tuan rumah.

Ketika perlawanan seakan perlu ditentukan dengan sepakan penalti, Zahrul Nizam meledak gol kemenangan pelawat ketika saingan berbaki tiga minit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini