comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Lagi aksi bolasepak dicemari pergaduhan, kali ini Liga Terengganu pula

Insiden pergaduhan antara pemain, pegawai dan penyokong ketika pertembungan NAG FC dan KESA FC dalam Liga Bolasepak Terengganu di Gong Badak, semalam. – FOTO: Ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU: Aksi bola sepak tempatan terus dicemari insiden pergaduhan dan terbaharu membabitkan Liga Bolasepak Terengganu (TFL), petang semalam.

Lebih menyedihkan salah seorang pegawai pasukan cedera teruk di bahagian muka hingga berdarah dipercayai dibelasah beberapa pemain pasukan lawan sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menerusi dua video tular berdurasi dua minit 36 saat dan 42 saat memaparkan insiden memalukan itu di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

@buletintv3 Aksi bola sepak tempatan terus dicemari insiden pergaduhan dan terbaharu membabitkan Liga Bolasepak Terengganu (TFL). Lebih menyedihkan salah seorang pegawai pasukan cedera teruk di bahagian muka dipercayai dibelasah beberapa pemain pasukan lawan. #BuletinTV3 #BeritaDiTiktok #Bolasepak #Terengganu ♬ original sound – BuletinTV3

Dalam video berkenaan, insiden itu bukan hanya membabitkan pemain, malah penyokong juga turut masuk campur hingga memasuki padang dengan menyerang dan mengejar pemain lawan menyebabkan ada pemain lari untuk menyelamatkan diri.

Lebih malang, walaupun polis dan Rela hadir memantau perlawanan itu, sebahagian daripada mereka bagaikan tidak menghiraukan, sebaliknya terus memukul pemain pasukan lawan hingga pihak berkuasa terpaksa campur tangan untuk meleraikan keadaan.

Turut kelihatan dalam video itu, pemain dan pegawai pasukan dikerumuni pemain pasukan lawan sebelum ditumbuk, dipijak dan diterajang hingga menyebabkan kecederaan teruk.

Seorang peminat yang enggan mendedahkan namanya berkata, pergaduhan itu tercetus seminit sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dengan KESA FC tamat ketika NAG FC mendahului 4-1 kejohanan edisi kedua itu.

Katanya, sejak awal lagi, aksi kedua-dua pasukan itu panas hingga memaksa penganjur memanggil polis untuk mengawal keadaan kerana dibimbangi berlaku pergaduhan.

“Bermula awal permainan lagi keras, separuh masa pertama tamat, pemain sudah mengejar pengadil kerana tidak berpuas hati hingga memaksa tiga buah kenderaan polis tiba.

“Seminit sebelum tamat, berlaku insiden panas itu yang dipercayai bermula dengan pemain menghantuk kepala pemain pasukan lawan sebelum pemain lain masuk campur dan berlaku pergaduhan.”

Loading...
Terkini