Tumpuan :
Sukan

Langkah Aaron-Wooi Yik terhenti

Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China.

Ini selepas mereka gagal menempatkan diri dalam dua kedudukan teratas kumpulan untuk melangkah ke separuh akhir.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya perlu memenangi satu set dalam pertemuan dengan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia bagi menempah tiket ke kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun, mereka tewas straight set 16-21, 16-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu.

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekadar menghuni tangga ketiga di bekalang dua gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang muncul juara kumpulan dan Sabar-Moh Reza naib juara.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu sebelum ini hampir pasti melangkah ke separuh akhir menerusi dua kemenangan ke atas Fajar-Rian serta wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Bagaimanapun, keputusan Ji Ting-Xiang Yu menarik diri daripada kejohanan menyebabkan kemenangan Aaron-Wooi Yik dibatalkan, sekali gus memerlukan mereka menang sekurang-kurangnya satu set ke atas Sabar Karyaman-Moh Reza.

Sebagai rekod, ini adalah kali kelima Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan selepas turut berdepan nasib sama pada edisi 2019, 2020, 2022 dan 2023.

Menerusi penyingkiran Aaron-Wooi Yik, Malaysia kini hanya memiliki tiga wakil di pusingan separuh akhir termasuk beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini