KUALA LUMPUR: Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Laos dan India dianggap sebagai dua pentas berbeza untuk menguji taring Harimau Malaya.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menjelaskan aksi menentang Laos di Bangkok, Khamis ini lebih kepada persiapan untuk Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung bulan depan.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, perlawanan berdepan India di Hyderabad, 18 November ini pula boleh dijadikan sebagai persiapan awal bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.
“Ini peluang yang bagus untuk kami beraksi di gelanggang lawan. Saya fikir dua perlawanan berbeza dan dua pendekatan berbeza.
“Laos mungkin kami boleh katakan sebagai persiapan untuk Piala AFF (ASEAN) dan India lebih kepada kelayakan Piala Asia tahun depan.
“Kami akan berdepan perlawanan sukar di tempat lawan dalam kelayakan. Jadi, memiliki satu perlawanan seperti India, ia membantu persiapan kami,” katanya.
Semalam, Vicente memanggil pemain Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya dan Fazrul Amir Md Zaman (Kelantan Darul Naim) bagi menggantikan tempat Natxo Insa dan Mukhairil Ajmal Mahadi yang digugurkan kerana masalah kecederaan.
Aksi berdepan Laos menjadi peluang terbaik untuk Zhafri membuat penampilan bersama Harimau Malaya dalam perlawanan rasmi selepas sebelum ini tidak mendapat peluang beraksi meskipun berada dalam skuad itu.
Malah, Vicente memberi bayangan bahawa beliau akan memberi peluang kepada pemain berusia 30 tahun itu dan juga Fazrul Amir yang buat kali pertama dipanggil.
“Zhafri sudah lama terbabit dengan kami tetapi tidak pernah mendapat minit yang sepatutnya. Saya katakan kepadanya bahawa dia pemain yang berharga, dan mana-mana jurulatih pasti mahukannya dalam pasukan mereka.
“Dia sentiasa bersedia untuk membantu pasukan dan kini kami boleh memberinya peluang. Fazrul pemain yang kami pantau sejak dua tahun lalu dan ini adalah peluang yang sesuai untuknya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.