KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic mengakui menentang Harimau Malaya pada aksi final Pestabola Merdeka yang menyaksikan mereka tewas 0-1, memang perlawanan yang sukar.
Menurut Radukovic, hal tersebut sudah dijangka kerana pasukan tuan rumah mempunyai pemain yang bagus.
“Aksi yang sengit. Kami sedikit menghormati lawan pada mulanya. Namun selepas itu dapat beraksi dengan baik.
“Malangnya kami bolos dan sukar untuk mengatur semula permainan. Kami ada beberapa peluang, tapi kejayaan memihak Malaysia.
“Tahniah buat mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Ia kekalahan pertama Lubnan selepas dua kali menewaskan Harimau Malaya menerusi jaringan 2-1 pada tahun 2017 dan 2018.
Radulovic turut menjelaskan misi mereka datang ke Malaysia adalah untuk meraih trofi, namun tetap gembira dengan gelaran naib juara.
“Kami datang untuk menang (jadi juara), namun ada situasi tidak jelas (keputusan pengadil). Tidak mengapa ia biasa dalam bola sepak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.