comscore
Tumpuan :
Sukan

Leclerc ungguli GP F1 di halaman sendiri

MONACO: Impian Charles Leclerc untuk memenangi perlumbaan di halaman sendiri menjadi kenyataan apabila pemandu Ferrari itu mengungguli Grand Prix Formula Satu (F1) Monaco.

Kali terakhir pelumba Monaco melakukannya ialah menerusi Louis Chiron pada tahun 1931.

Ia juga kali pertama buat pelumba 26 tahun itu berada di atas podium Monaco selepas enam percubaan dan memenanginya selepas dua kali bermula dari petak utama sebelum ini.

Pemandu McLaren, Oscar Piastri di tempat kedua, 7.1 saat di belakang Leclerc dan Carlos Sainz dari Ferrari, ketiga.

“Ia sangat bermakna. Ia perlumbaan yang membuatkan saya menanam impian untuk menjadi pelumba Formula Satu,” kata Leclerc.

Pendahulu kejuaraan, Max Verstappen dari Red Bull yang memenangi perlumbaan di Monaco tahun lalu, melintasi garis penamat di tempat keenam – kali ketiga dalam lapan perlumbaan juara dunia tiga kali itu berjaya ditewaskan musim ini.

Seorang lagi pemandu McLaren, Lando Norris di tempat keempat manakala George Russel dari Mercedes, kelima.

Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton di tempat ketujuh, dengan mata bonus untuk pusingan terpantas, dan Yuki Tsunoda kelapan untuk RB.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc meraikan kemenangan di Grand Prix Monaco dengan terjun ke dalam laut. – FOTO: Reuters

Alex Albon mengutip mata pertama untuk Williams musim ini di tempat kesembilan dan Pierre Gasly meraih mata terakhir untuk Alpine walaupun mengalami kemalangan di pusingan pertama dengan rakan sepasukan, Esteban Ocon, tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Kemenangan pertama Leclerc sejak GP Austria 2022 itu merapatkan jurang dengan pendahulu, Verstappen kepada 31 mata daripada 48.

Ferrari kini hanya 24 mata di belakang Red Bull dalam kejuaraan pengeluar.

Leclerc sebelum ini dua kali memulakan perlumbaan di Monaco dari petak utama, pada tahun 2021 dan 2022, tetapi gagal menggunakan kelebihan itu untuk meraih penamat podium. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini