comscore
Tumpuan :
Sukan

Les Rouges kembali beraksi selepas 36 tahun

Barisan pemain pasukan Kanada yang bakal berentap pada Piala Dunia di Qatar. – FOTO: Ihsan Africa Daily News

DOHA: Piala Dunia Qatar 2022 bakal menjadi penampilan kedua Kanada pada kejohanan berprestij berkenaan selepas kali pertama pada 1986.

Ketika itu, Kanada gagal meraih sebarang kemenangan dalam peringkat kumpulan selain tidak berupaya mencetak gol.

Namun kali ini tampak berbeza apabila mereka mempunyai rekod baik, menduduki tempat pertama saingan Zon CONCACAF dan mendahului dua negara terbaik, Mexico dan Amerika Syarikat.

Perkembangan ini menunjukkan yang Kanada kini semakin berkembang maju berbanding penampilan pertama di Piala Dunia 36 tahun lalu.

Untuk kali ini, Kanada membariskan senarai pemain yang turut disertai pemain Bayern Munich, Alphonso Davies namun terdapat persoalan sama ada pemain itu akan cergas sepenuhnya untuk saingan di Qatar selepas mengalami beberapa kecederaan sebelum ini.

Dengan Davies disenaraikan dalam skuad John Herdman, jurulatih Kanada itu turut berdepan kesukaran membuat keputusan dengan mengenepikan Doneil Henry selepas pertahanan veteran itu mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan bertemu Bahrain.

“Pasukan perubatan mengawasi keadaannya dan ia bukanlah satu berita yang baik, tempoh untuk dia kembali pulih mungkin mengambil masa sehingga 14 hari,” kata Herdman dalam satu sidang media.

“Doneil meletakkan pasukan sebagai keutamaan, kami mungkin akan cuba untuk menyenaraikannya dan kembali bersamanya kemudian dalam kejohanan ini tetapi dia tahu yang ini adalah keputusan tepat.

“Ia menunjukkan keberanian dan apakah erti persaudaraan sebenarnya apabila seorang pemain boleh menyerahkan jersinya dan menyokong pasukan dalam peranan yang berbeza.

“Kanada dihimpit kecederaan menjelang ke Qatar, kehilangan pertahanan Scott Kennedy kerana masalah bahu dan penjaga gol, Maxime Crepeau yang patah kaki ketika final Piala MLS.

Namun kebimbangan besar adalah terhadap Davies, seorang pemain paling dinamik dalam pasukan Kanada.

Pemain berusia 22 tahun itu terlepas dua perlawanan Bayern di Bundesliga selepas mengalami kecederaan awal bulan ini.

Davies mempunyai rekod bermain 34 kali dan menjaringkan 12 gol untuk Kanada.

“Seorang budak yang dilahirkan dalam kem pelarian tidak sepatutnya berjaya. Namun inilah kami yang akan ke Piala Dunia. Jangan biarkan mereka memberitahu kami yang impian kamu itu tidak realistik.

“Teruskan menanam impian dan melakar kejayaan,” kata Davies dalam Twitter selepas pengumuman 26 pemain itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini