comscore
Tumpuan :
Sukan

Leverkusen mara, bertemu Atalanta di final Liga Europa

Jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso (kanan), pengarah sukan Simon Rolfes dan penolong jurulatih Marcel Daum meraikan kejayaan kelab itu mara ke final Liga Europa awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

LEVERKUSEN, Jerman: Bayer Leverkusen mara ke final Liga Europa, 4-2 secara agregat selepas gol Josip Stanisic pada masa kecederaan membantu mereka seri 2-2 dengan AS Roma di laman sendiri awal pagi tadi, melebarkan catatan tanpa kalah mereka kepada rekod 49 perlawanan.

Dalam perlawanan ulangan separuh akhir Liga Europa musim lalu, Roma hadir ke Leverkusen ketinggalan 2-0 selepas aksi pertama tetapi menyamakan kedudukan agregat sekalipun tidak banyak menguasai bola susulan penalti pada setiap babak menerusi Leandro Paredes.

Dengan aksi itu menuju ke masa tambahan, Alex Grimaldo melencongkan sepakan sudut yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Mile Svilar, bola menggolek masuk ke dalam gol selepas terkena pertahanan Roma, Gianluca Mancini.

Stanisic kemudian mengekalkan rekod mengagumkan Leverkusen dengan gol lewat apabila menjaringkan gol menerusi serangan balas pada minit ketujuh masa kecederaan, memecahkan rekod tanpa kalah Benfica pada 1965.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol awal tetapi gagal menyudahkannya – tetapi kami akan berada di Dublin,” kata bos Leverkusen, Xabi Alonso kepada RTL.

“Ia satu malam yang istimewa. Ada banyak detik tegang tetapi ia membuktikan personaliti dan mentaliti pasukan ini.”

“Kami sendiri tidak tahu bagaimana kami boleh ketinggalan 2-0,” kata pemain tengah Leverkusen, Granit Xhaka.

“Untuk bangkit menentang pasukan sebegini luar biasa – keinginan kuat kami menakjubkan. Kami berada di final, kami dalam laluan untuk menjadikan impian satu realiti dan akan melakukan sedaya mungkin untuk membawa pulang trofi ke Leverkusen.”

Juara Bundesliga, Leverkusen akan bertemu Atalanta, yang menundukkan Marseille 3-0 (4-1 secara agregat) pada final di Dublin 22 Mei ini dengan harapan untuk melakar treble masih cerah.

Jurulatih Roma, Daniele De Rossi bangga dengan pasukannya dan berkata: “Kami bermain satu perlawanan yang mengagumkan – mereka kuat. Kami cuba tetapi kami hanya ada beberapa percubaan. Pemain beraksi satu perlawanan yang menakjubkan.” – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini