comscore
Tumpuan :
Sukan

Lewandowski Pertahan Anugerah Kasut Emas Eropah

Robert Lewandowski bergambar bersama Anugerah Kasut Emas Eropah keduanya di Barcelona, Sepanyol. – Foto Reuters.

BARCELONA: Penyerang Poland, Robert Lewandowski berjaya memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah buat kali kedua berturut-turut selepas muncul penjaring terbanyak bagi musim 2021-2022.

Lewandowski yang kini bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona berjaya mempertahankan anugerah itu selepas meledak 35 gol bersama bekas pasukannya, Bayern Munich.

Kylian Mbappe berada di kedudukan kedua dengan 28 gol, sementara Ciro Immobile dan Karim Benzema yang masing-masing menyumbat 27 gol berkongsi kedudukan ketiga.

Anugerah disampaikan bekas ketua pasukan Barcelona dan Sepanyol, Carles Puyol.

“Saya sangat gembira dan bangga di Barcelona. Saya yakin tahun depan akan menjadi tahun yang sangat baik.

“Barcelona bukan sekadar sebuah kelab tetapi ia lebih daripada itu dan sangat penting. Terima kasih kepada isteri dan keluarga saya,” kata penyerang berusia 34 tahun itu.

Lewandowski kini muncul salah seorang daripada 12 pemain yang telah menerima anugerah itu sebanyak dua kali.

Lionel Messi paling banyak menerima anugerah ini dengan enam kali diikuti Cristiano Ronaldo, empat kali.

Loading...
Terkini