comscore
Tumpuan :
Sukan

Liaoning hampiri kejuaraan MHL

Pemain Liaoning meraikan jaringan tunggal Wang Libin mengalahkan QNET Phoenix 1-0. (Foto ihsan MHC)

KUALA LUMPUR: Pasukan jemputan dari China, Liaoning Women’s HT menghampiri kejuaraan wanita Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatat kemenangan keenam menewaskan QNET Phoenix.

Jaringan tunggal  Wang Libin pada minit ke-34 hasil pukulan sudut penalti itu turut  membantu Liaoning Women’s HT untuk merampas tangga teratas liga hasil keseluruhan 18 mata yang dikumpul menerusi enam kemenangan daripada tujuh perlawanan.

Manakala ini kekalahan pertama QNET untuk turun ke tangga ketiga dan kini bersaing dengan Malaysian University di tangga kedua yang turut meraih 17 mata tetapi memiliki kelebihan jaringan susulan kemenangan besar 11-0 keatas Mutiara Impian hari ini.

Liaoning kini memerlukan kemenangan pada dua perlawanan terakhirnya menentang  Malaysian University pada Feb 24 and Mutiara Impian (29 Feb) untuk mengesahkan kejuaraan.

Pengendali QNET, Siti Rahmah Othman, menyifatkan ia satu kerugian buat pasukannya apabila tewas pada perlawanan yang cukup penting hari ini sekaligus menutup terus pintu buat mereka untuk muncul selaku juara.

“Perlawanan hari ini merupakan perlawanan yang cukup penting untuk kami membawa pulang tiga mata namun sayangnya kami tewas.

“Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan persembahan yang telah ditampilkan oleh pemain-pemain yang sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi selain tidak berputus asa sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, Nuramirah Shakirah Zulkifli yang meledak empat gol buat Malaysian University ketika menundukkan Mutiara Impian, berkongsi kedudukan kedua penjaring gol terbanyak (11 gol) bersama Nur Afiqah Syahzani Azhar daripada QNET.

Manakala pemain Liaoning Wang Lihang  kekal selaku pendahulu dengan 12 gol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini