ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia memberi tentangan sengit menentang Shanghai Shenhua FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Pengendalinya, Hector Bidoglio menegaskan aksi menentang kelab dari China itu tetap sukar tatkala kedua-dua pasukan mahukan tiga mata dalam perlawanan itu.
“Kami harus tingkatkan kualiti permainan apabila berdepan kelab dari China itu kerana ia perlawanan penting buat kami malah pemain tampak bekerja keras membuat persiapan untuk beraksi dalam perlawanan ACLE.
“Kami juga perlu meletakkan fokus terhadap potensi kami tatkala aksi pertama ACLE di tempat lawan begitu memberangsangkan walaupun melakar keputusan seri 2-2 dengan Shanghai Port FC tapi akan bersedia untuk mencari kemenangan pertama di laman sendiri.
“Selepas mengkaji corak permainan pasukan lawan, tidak dinafikan mereka kerap menjaringkan gol menerusi gerakan `set-piece’ dan pemain mereka juga baik apabila menyudahkan bola tandukan selain gemar memperdaya benteng pertahanan,” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu menambah, JDT juga akan memperkemaskan gerakan `set-piece’ memandangkan ia penting dalam permainan kerana mampu memberi kemenangan jika semua perancangan dibuat dengan rapi.
Bidoglio juga mengesahkan pemain tengah, Enzo Lombardo tidak akan diturunkan pada aksi menentang Shanghai Shenhua FC selepas masih lagi mengalami kecederaan ketika menentang Kuching City FC, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, pengendali Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutsky menegaskan pasukannya sudah membuat persiapan rapi menentang JDT selepas merehatkan beberapa pemain utama dan hanya menurunkan skuad kedua pada aksi liga menentang Qingdao Hainiu FC, Sabtu lalu.
Katanya, walaupun pasukannya menempuh jadual perlawanan yang padat, mereka tetap bersedia untuk memberikan aksi terbaik dan dalam masa sama mengintai peluang untuk memburu kemenangan.
“Kami tahu JDT pasukan yang hebat, mereka tidak ubah seperti Shanghai Port dalam saingan Liga Super China, gemar mendominasi permainan dan melakukan serangan dari pelbagai sudut.
“Pemain yang mencuri tumpuan ketika dua-dua bertembung pada aksi pembukaan ACLE semestinya pemain bernombor 42 (Arif Aiman Hanapi) yang meledak dua gol. Kami juga perlu berhati-hati dengan kelibat pemain nombor 30 (Natxo Insa) walaupun sudah berusia 37 tahun tapi mampu bertindak selaku jeneral di bahagian tengah.
“Bagaimanapun, saya melihat peluang masih terbuka buat kami dan juga JDT kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, sudah pasti kami mahukan sesuatu dari kejohanan ini,” katanya.
Kali terakhir Shanghai Shenhua mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi Asia itu pada 2018, namun terkandas di peringkat kumpulan.
Slutsky yang pernah membimbing kelab Liga Bola sepak Inggeris, Hull City FC berkata, kemenangan 4-1 ke atas kelab Korea Selatan, Pohang Steelers meningkatkan lagi keyakinan buat barisan pemainnya untuk berdepan barisan pemain Hector Bidoglio.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa