Tumpuan :
Sukan

Liga Negara-Negara: England kembali ke liga utama

Pemain England, Taylor Harwood-Bellis menanduk masuk gol kelima pasukan ketika aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Republik Ireland di Wembley, London. – FOTO: Reuters

LONDON: England mengesahkan kepulangan ke divisyen utama Liga Negara-Negara UEFA dengan kemenangan 5-0 ke atas Ireland pada perlawanan terakhir di bawah pengendali sementara, Lee Carsley di Wembley.

Penalti Harry Kane, voli Anthony Gordon dan tolakan Conor Gallagher dalam tempoh lima minit di awal babak kedua berjaya memusnahkan Ireland yang cukup kental di babak pertama.

Jarrod Bowen menjadikan kedudukan 4-0 dengan rembatan dari luar kotak penalti, sentuhan pertamanya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian sebelum Taylor Harwood-Bellis menanduk masuk gol kelima.

Ireland beraksi 10 orang sepanjang babak kedua selepas Liam Scales dibuang padang kerana mengasari Jude Bellingham, sekali gus memberikan penalti kepada England.

The Three Lions menamatkan saingan Kumpulan B2 dengan 15 mata daripada enam perlawanan, mengatasi Greece menerusi perbezaan jaringan dalam dua pertemuan di antara mereka.

Carsley kini akan menyerahkan pasukan kepada Thomas Tuchel selepas memenangi lima daripada enam perlawanan kendaliannya.

“Ia hari yang hebat untuk pemain-pemain dan perkara paling utama ialah kenaikan liga. Saya menikmati permainan mereka yang agresif,” kata Carsley.

Kapten Kane meledak gol ke-69 untuk England, manakala empat lagi penjaring meledak gol sulung mereka di peringkat antarabangsa bersama skuad senior – kali pertama ia berlaku dalam sejarah negara itu sejak tahun 1930.

Carsley turut memberikan kap sulung kepada bek tengah Newcastle United, Tino Livramento dan permulaan pertama rakan sepasukannya di kelab, Lewis Hall manakala Harwood-Bellis dari Southampton meraikan kap senior pertamanya dengan gol. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini