comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Perdana Inggeris – Gabriel pacu Arsenal kembali ke persada liga

Foto AP

LONDON: Jaringan tunggal Gabriel Magalhaes pada babak kedua sudah mencukupi buat Arsenal mencatat satu lagi kemenangan penting, mengatasi Chelsea dengan keputusan 1-0.

Ia menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta kembali meneraju kedudukan teratas liga selepas dipintas sementara oleh Manchester City.

Dan pastinya kemenangan ke atas Chelsea cukup penting dalam misi Arsenal untuk menamatkan penantian 19 tahun selepas kali terakhir ‘The Gunners’ bergelar juara pada 2003.

“Kemenangan yang cukup besar buat kami, selangkah lagi menuju ke sasaran utama pasukan, datang ke sini menentang lawan sukar, pengurus yang hebat, pemain-pemain berkelas dunia, dapat memberikan persembahan terbaik, menguasai permainan dan lebih hebat memenanginya, memang cukup bermakna, harap ia akan memberikan kepercayaan kepada pemain.

“Lihat apa yang dilakukan Manchester City dalam tempoh 6 tahun ini bersama jurulatih berkelas dunia, pasukan terbaik di dunia, mereka telah menunjukkan konsistensi di setiap perlawanan, dan kita harus hormatinya, pasukan kami juga semakin baik, kita dapat memberikan saingan dengan baik, keputusan positif juga memihak kita tetapi saingan liga ini masih panjang,” kata Arteta selepas perlawanan.

Aksi yang berlangsung di Stamford Bridge cukup dinanti berdasarkan reputasi kedua-dua pasukan Arsenal dan Chelsea.

Tambah menghangatkan suasana, penampilan pemain penyerang, Pierre Emerick Aubameyang yang menyarung jersi Chelsea pada kali ini.

Saling berbalas serangan pada babak pertama, kedua-dua pasukan bagaimanapun buntu untuk memecah kebuntuan.

Sehinggalah pada minit ke 63, keadaan akhirnya berubah selepas percubaan Gabriel berjaya meletakkan Arsenal di depan.

Seminit berselang, Aubameyang dikeluarkan Graham Potter, bagaimanapun perubahan yang dilakukannya masih belum dapat untuk memecahkan kebuntuan Chelsea.

Sebaliknya permainan masih dikuasai Arsenal dengan Martin Odegaard hampir menggandakan jaringan pada minit ke 75 sebelum percubaannya tersasar.

Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekaligus tiga mata penting diraih Arsenal yang kembali menghuni kedudukan teratas liga dengan jumlah 34 mata.

Loading...
Terkini