Tumpuan :
Sukan

Liga super: JDT tewaskan KL City FC, 3-0

FOTO: FB Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan pusingan kedua saingan Liga Super dengan langkah kanan apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengumpul 43 mata selepas melakar 14 kemenangan untuk terus mendominasi takhta liga dan akan sekali lagi berdepan anak ddik Miroslav Kuljanac pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini.

Skuad The City Boys yang turun tanpa dua tonggak utama, Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli yang bersama skuad Harimau Malaya bagi tugasan Piala Asean tampak beraksi dalam tekanan apabila barisan pemain JDT kerap menguasai permainan.

JDT memulakan jaringan pada minit ke-12 selepas Arif Aiman Hanapi yang tidak dikawal bergerak secara solo sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol KL City FC, Azri Ab Ghani.

Arif Aiman yang aksinya agak tenggelam ketika saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) baru-baru ini bagaikan melepaskan geram apabila mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-36 selepas merembat bola kencang di luar kotak penalti membuat Azri tergamam melihat bola menerjah jaring.

Ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan pengadil perlawanan, Fitri Maskon tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas menyemak Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan bola sepakan Park Jun-heiong terkena tangan Brendan Gan.

Arif Aiman yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-42 mudah menewaskan Azri sekali gus melengkapkan jaringan hatrik buat dirinya pada perlawanan yang jelas dikuasai skuad Harimau Selatan untuk kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, anak didik Bidoglio hampir menambah jaringan pada minit ke-52 selepas bola lorongan Oscar Arribas membuka ruang buat Heberty Fernandes merembat bola kencang dari jarak 20 meter namun Azri sudah bersedia menampan bola.

Sekali lagi JDT terlepas untuk menambah jaringan pada minit ke-83 selepas bola sepakan sudut Corbin Ong tepat kepada pemain gantian Jorge Obregon namun bola tandukannya sempat ditepis Azri bagi mengelak gawang dibolosi dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini