Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC terpaksa akur berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 pada aksi ke-10 Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.
KDA FC bimbingan Nafuzi Zain yang kembali menyenaraikan skuad utama selepas skuad bawah 23 pasukan itu tewas besar 0-5 kepada Kuala Lumpur City FC, minggu lalu cuba merobek gawang Sri Pahang di awal permainan namun tiada penyudah sempurna mampu dihasilkan sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad terlebih dahulu menyingkap gol pembukaan menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ke-52.
Bagaimanapun gol pembukaan itu tidak bertahan lama apabila Abdul Halim Saari menyamakan kedudukan, enam minit berselang.
Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi semangat Sang Kenari dan hasilnya Sukhrob Nurulloev meledak gol kedua, minit ke-64.
Ketika ramai menjangkakan KDA FC akan meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri, Sri Pahang bangkit menyamakan kedudukan melalui Kpah Sherman, minit ke-80.
Tiada lagi gol menyusul menyaksikan Sri Pahang naik satu anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dengan 11 mata, manakala KDA FC berada di kedudukan ke-10 dengan sembilan mata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.