KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, belum membuat keputusan sama ada akan menurunkan penyerang import baharu dari Brazil Joao Pedro Duarte pada pertemuan menentang Terengganu FC pada saingan Liga Super di Stadium Likas malam esok.
Menurut Kim Swee beliau masih membuat penilaian terhadap semua pemain.
Bagaimanapun, katanya jika Duarte diturunkan, beliau yakin pemain berasal dari Brazil itu dapat membantu Sabah melakar keputusan yang positif, apatah lagi berdepan lawan yang berada di kelompok teratas liga.
“Apa-apapun kita tunggu perkembangan sehingga Ahad (esok), sekiranya dapat diturunkan sudah pasti Joao Pedro dapat membantu Sabah FC mencatat kemenangan di gelanggang sendiri.
“Dalam tempoh sesi latihan, beliau menunjukkan komitmen baik untuk mempamerkan prestasi yang diharapkan menjelang perlawanan malam esok,” katanya.
Sabah FC membawa masuk Duarte sejak bulan lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ramon Machado dalam usaha memantapkan semula jentera serangan pasukan.
Perlawanan menentang Terengganu FC esok adalah aksi ke-9 Sabah FC dan mereka kini di kedudukan ke-5 liga dengan meraih 13 mata.
Manakala Terengganu FC di tangga ke-3 mengumpul 15 mata selepas lapan perlawanan.
Sementara itu, Kim Swee mengesahkan pertahanan pasukan, Dominic Tan belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan selepas membantu Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka, baru-baru ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.