comscore
Tumpuan :
Sukan

Liga Super: PDRM ikat Selangor

Foto SELANGOR FC

KUALA LUMPUR: Jaringan minit akhir pemain gantian PDRM FC, Aremu Timothy Oluwaseun mengecewakan Selangor FC (SFC) selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

SFC tampak lebih mendominasi permainan dan mereka hanya memerlukan 15 minit untuk membuka jaringan yang bermula menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan mereka.

Hantaran lintang Quentin Cheng berjaya ditanduk Alvin Fortes dan bola terlebih dahulu menggegar palang sebelum melintasi garisan gol untuk gol pembukaan perlawanan.

Beberapa percubaan dihasilkan SFC menerusi Quentin dengan rembatan dari luar kotak penalti yang melambung tinggi pada minit ke-33 disusuli percubaan Fortes sedikit tersasar ke bahagian kanan pintu gol PDRM FC tiga minit berselang.

Bersambung babak kedua, PDRM FC hampir dihukum menerusi kesilapan sendiri pada minit ke-47 selepas tampanan Mohd Safiee Ahmad menuju ke arah pintu gol sendiri namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Bryan See.

Peluang terbaik PDRM FC hadir menerusi sepakan percuma pada kedudukan yang baik di minit ke-52, sayangnya percubaan Chidi Emma Osuchukwu tepat ke dakapan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

SFC terus menggandakan asakan dan memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan namun gagal disudahkan sebelum jaringan penyamaan Oluwaseun pada minit kedua masa tambahan memastikan satu mata dikutip tuan rumah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini