
HONG KONG: Saingan suku akhir esok menyaksikan Malaysia berjaya menampilkan setiap pemain dalam setiap lima kategori yang dipertandingkan.
Perseorangan lelaki, harapan terus disandarkan kepada Ng Tze Yong selepas cemerlang menundukkan pemain yang memiliki ranking lebih baik pada dua pusingan sebelum ini, iaitu Chou Tien Chen dai Taiwan (12 dunia) dan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama (14 dunia).
Di atas kertas kelebihan berpihak Tze Yong selaku pemain ke-20 dunia menentang pemain Denmark, Magnuss Johannesen yang mendudukki ranking ke-32 dunia pada suku akhir esok.

Begitupun hasrat untuk menyaksikan Leong Jun Hao mengiringi Tze Yong, tidak kesampaian apabila dia tewas mudah kepada pemain nombor 2 dunia dari Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 14-21, 11-21 pada aksi pusingan kedua
Pada acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei bakal berdepan pilihan ke-6 dari China, Han Yue.
Berpeluang untuk berehat panjang selepas lawannya Ratchanok Intanon menarik diri pada pusingan kedua, kesempatan itu diharap digunakan sebaik mungkin Jin Wei untuk menewaskan Han Yue.
Gandingan lelaki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pula membawa cabaran menentang beregu pilihan ke-8 dari Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi Lin.

Bukan mustahil buat Sze Wei dan Izzuddin untuk mencipta kejutan memandangkan prestasi turun naik Lee Yang dan Chi Lin selepas memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020.
Acara beregu wanita, pasangan Pearly Tan dan M Thinaah yang tampil selaku pilihan ke-6 , sekali lagi mara ke suku akhir, menang mudah ke atas rakan senegara Anna Ching Yik Cheong dan Teoh Mei Xing 21-7, 21-10.
Lawan mereka esok tampak sukar, pilihan ke-4 dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai.
Manakala beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai mudah mengenepikan pasangan dari Taiwan ,Yang Po Shuan dan Hu Ling Fang untuk mara ke suku akhir.
Diletakkan pilihan ke-4, Soon Huat dan Shevon menang 21-12, 21-9 untuk bertemu satu lagi lawan bukan pilihan esok, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.
Cuma malang buat satu lagi gandingan campuran negara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Pada pusingan kedua yang berakhir sebentar tadi, Tang Jie dan Ee Wei akur kalah kepada beregu China, Guo Xin Wa dan Wei Ya Xin pada aksi sengit memakan masa 54 minit.
Tewas 18-21 pada set pertama, beregu negara bangkit 21-12 pada set kedua, namun gagal mengekalkan fokus, kecundang pada set penentuan 19-21 meskipun satu ketika mendahului 19-16.