
PARIS: Liverpool ketinggalan bagi perlawanan keempat dalam lima aksi musim ini namun bangkit untuk menewaskan LASK 3-1 di Linz pada aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Liverpool, beraksi dalam Liga Europa buat kali pertama sejak muncul naib juara pada tahun 2016, merombak keseluruhan kesebelasan utama mereka menentang LASK di laman lawan dan pantas ketinggalan.
Pada minit ke-14, Sascha Horvath melambungkan satu sepakan sudut kepada Florian Flecker di luar kotak penalti Liverpool.
Pemain tengah Austria itu mengawal bola sebelum merembat kencang melepasi Caoimhin Kelleher di pintu gol Liverpool.
Darwin Nunez menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-55 selepas Luis Diaz dijatuhkan.
Selepas 61 minit, jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp mula menggantikan pemain remaja dengan pemain utama.
Dalam tempoh dua minit mereka mendahului apabila Ryan Gravenberch meluru di sayap kanan sebelum membuat hantaran silang leret kepada Diaz untuk menyumbat masuk dari jarak dekat.

Dua minit sebelum tamat Mohamed Salah, yang masuk pada babak kedua, meledak gol ketiga The Reds.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool di puncak Kumpulan E yang turut disertai Union Saint-Gilloise dan Toulouse yang seri awal pagi tadi.
Ini membolehkan Klopp memecah perkongsian bagi kemenangan terbanyak Eropah bersama Rafael Benitez yang memenangi 49 perlawanan antara tahun 2004 dan 2010 dan seperti Klopp, mengemudi kelab itu memenangi Liga Juara-Juara.

“Ia bagus,” katanya. “Kami bermain banyak perlawanan di Eropah, tetapi bagus juga kami menang sebanyak itu dan kami sering kali layak ke final.
“Ia hebat, tetapi mungkin ia disebabkan pertandingan kini mempunyai lebih banyak perlawanan berbanding masa lalu.”
Bob Paisley, yang memenangi tiga Piala Eropah bersama Liverpool menang 39 perlawanan Eropah daripada 61.
Pengurus legenda Bill Shankly menang 34 daripada 65 perlawanan dan mengemudi kelab itu bagi trofi sulung mereka di Eropah: Piala UEFA pada 1973.
Perlawanan awal pagi tadi adalah aksi ke-82 Klopp bagi perlawanan Eropah di peringkat kelab. Benitez mengemudi kelab itu dalam 85 perlawanan. – Agensi