comscore
Tumpuan :
Sukan

Liverpool kukuhkan kedudukan di puncak liga

LIVERPOOL: Virgil van Dijk dan Cody Gakpo menyumbat gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua untuk membantu Liverpool menjarakkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menang 4-1 ke atas Luton Town di Anfield awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp mengumpul 60 mata selepas 26 perlawanan, empat mata di depan Manchester City dan lima berbanding Arsenal, sekalipun kedua-dua pasukan pencabar terdekat itu beraksi kurang satu perlawanan.

Luton Town kekal di tangga ke-18.

Pemain Luton, Chiedozie Ogbene mengejutkan peminat di Anfield dengan gol pada minit ke-12 dan Liverpool, yang kehilangan khidmat beberapa tonggak utama termasuk Mohamed Salah dan Darwin Nunez, ketinggalan pada babak pertama aksi liga di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Namun skuad tempang Liverpool tampil lebih bertenaga selepas rehat.

Van Dijk meledak pada minit ke-56, mengatasi pemain pertahanan sebelum menanduk masuk sepakan sudut Alexis Mac Allister.

Gakpo menanduk masuk hantaran silang Mac Allister dua minit kemudian.

Luis Diaz dan Harvey Elliott kemudian menambah gol Liverpool pada minit ke-71 dan 90.

Liverpool dilanda kecederaan akhir-akhir ini semakin hampir dengan final Piala Liga Ahad ini selain perebutan kejuaraan yang semakin sengit.

Klopp berkata Salah, yang baru kembali daripada kecederaan hamstring, tidak cergas untuk beraksi awal pagi tadi manakaka Nunez, Diogo Jota dan Curtis Jones diketepikan susulan kecederaan dialami menentang Brentford hujung minggu lalu.

Pasukan pendahulu itu sudah kehilangan khidmat penjaga gol Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Dominik Szoboszlai dan Thiago Alcantara. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini