comscore
Tumpuan :
Sukan

Liverpool Menanti Kunjungan Man City

FOTO : Reuters

LIVERPOOL : Bek kiri Liverpool, Andy Robertson berharap kemenangan 7-1 ke atas Rangers di saingan Liga Juara-Juara dapat menyemarakkan semangat mereka yang kini menanti kunjungan Manchester City dalam aksi Liga Perdana, Ahad ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp meraih kemenangan meyakinkan di Ibrox selepas permulaan sukar untuk kempen domestik yang menyaksikan mereka menduduki tempat ke-10 selepas lapan perlawanan, 14 mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Robertson, yang membuat penampilan pertamanya selepas lebih sebulan susulan kecederaan buku lali berkata, Liverpool memerlukan semangat yang sama apabila menentang City.

“Kami perlu mendapatkan kembali prestasi sebenar. Itulah kekurangan kami pada musim ini. Kami perlu bermain dengan intensiti tinggi.

“(City) adalah pasukan yang hebat dan mereka berada pada prestasi terbaik ketika ini. Sukar untuk bermain menentang mereka tetapi kami juga berada pada tahap terbaik,” katanya.

Robertson memuji penyerang, Mohamed Salah selepas dia masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan hatrik dalam tempoh enam minit yang menakjubkan ketika menentang Rangers, hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Salah hanya menjaringkan dua gol dalam liga setakat ini tetapi Robertson berkata kejayaan meledak hatrik itu boleh menjadi titik perubahan buat bintang Mesir itu.

“Anda memberi Mo peluang dan dia akan menjaringkan gol. Jadi ia akan memberi tambahan keyakinan kepadanya. Dia seorang pemain yang hebat.

“Biasanya apabila dia beraksi, dia mahu menjaringkan gol. Nasib baik dia hanya meledak tiga gol,” katanya. – REUTERS

Loading...
Terkini