
PETALING JAYA: Darren Lok muncul wira Harimau Malaya apabila meledak gol tunggal kemenangan 1-0 menentang Taiwan pada perlawanan Kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei sebentar tadi.
Masuk menggantikan Paulo Josue pada minit ke-62, Lok tidak menunggu lama apabila meledak gol kemenangan Harimau Malaya sepuluh minit selepas berada di padang.
Gol berpunca daripada percubaan seorang lagi pemain gantian Endrick Dos Santos yang berjaya ditampan oleh penjaga gol tuan rumah Pan Wen-Chieh, namun tindakan susulan pantas Lok dalam kotak penalti menyaksikan bola menerjah ke jaring.

Malaysia memulakan permainan menyaksikan Kim Pan Gon menggunakan taktikal 3-4-3, membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan yang menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lepas dengan menurunkan Junior Eldstal, Mohd Afiq Fazail, Paulo Josue dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Cools bertindak selaku ketua pasukan dibantu Eldstal dan Matthew Davies di bahagian pertahanan.
Manakala Corbin Ong, Stuart Wilkin, Afiq dan Arif Aiman menjana serangan Harimau Malaya di bahagian tengah.

Jentera serangan pula menyaksikan Pan Gon membariskan Akhyar Rashid, Josue dan Faisal Halim.
Harimau Malaya memang berhak membawa pulang tiga mata selepas menguasai hampir keseluruhan permainan dengan asakan bertali arus memaksa tuan rumah banyak bertahan.
Kemenangan ini menyaksikan Malaysia merampas tangga teratas Kumpulan D dengan 6 mata dan kedudukan itu kekal sekiranya Kyrgyzstan yang berdepan Oman di gelanggang sendiri jam 10 malam ini berjaya menewaskan Oman atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.