Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PULAU LANGKAWI: Hanya berbaki sehari sebelum perlumbaan berprestij Asia, Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL 2024) memulakan saingan, pasukan kebangsaan yang dikendali jurulatih Mohd Yusof Abdul Nasir melihat ini peluang terbaik untuknya mengetengahkan bakat baharu.
Dan segalanya berada dalam perancangan apabila senarai pelumba-pelumba kebangsaan yang dikeluarkan menyaksikan tiga muka baharu, yang akan bergandingan dengan tiga pelumba berpengalaman.
Malaysia membariskan Muhd Afiq Huznie Othman, Muhd Elmi Jumari dan Muhsin Al Redha Misbah dan melengkapkan senarai adalah muka baharu, Muhd Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas dan Tsen Ren bao.
“Yusri, Azim dan Ren Bao, ini penampilan pertama, mungkin mereka sedikit gementar tetapi rakan sepasukan sentiasa beri bantuan, saya rasa tidak ada apa masalah cuma dekat sini kita nak sesuaikan dengan keadaan di sini, dengan cuaca kita tidak tahu kadang-kadang sekarang ni kan musim hujan, kejap hujan kejap panas, tetapi saya rasa semuanya bagus, mentaliti pasukan juga baik.
“Misi kita kali ini macam mana pun kita nak buat yang lebih baik daripada tahun lepas, tetapi apapun, pelumba tahun lepas kebanyakannya dah berpindah ke pasukan pro, jadi kita ada bakat-bakat baharu yang kita ketengahkan, mungkit tahun ini pun kita boleh hasilkan pelumba pro untuk ke pasukan lain, kerana kita tidak mempunyai kewangan yang tinggi untuk bawa pasukan setiap tahun, tetapi apapun, kita harap dengan adanya LTdL ini, pasukan Malaysia dapat hasilkan satu pelumba yang bagus untuk pasukan-pasukan yang lebih besar.
” Kapten untuk pasukan ini adalah Elmi Jumari, tapi dia dibantu oleh Afiq Huznie, dua pelumba yang berpengalaman dalam LTdL, saya harap mereka dapat bimbing macam Ren Bao dan Yusri, Yusri nampak agak masa datang sini dia punya prestasi agak baiklah, pada saya dia antara pelumba ‘All-Rounder’ yang sangat bagus, saya harap dia dapat lakukan yang terbaiklah, di samping itu saya rasa Ren Bao dapat lakukan sesuatu di laluan Cameron Highlands lah, kalau ada yang tahu, Ren Boa memang boleh untuk bukit, tapi kita tahu ini penampilan pertama, saya tak boleh letak harapan terlalu tinggi tapi saya rasa dia mampu lakukan”, kata Yusof.
Sementara itu, pelumba muda, Tsen Ren Bao jelas cukup teruja untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan bapanya, Tsen Seong Hoong yang juga merupakan bekas pelumba basikal lebuhraya kebangsaan yang pernah menyertai perlumbaan LTdL sebelum ini.
“Sangat gementar, pertama kali untuk saya, ayah dah buat tujuh lapan kali, ada tekanan juga, ada nak bagi yang terbaik untuk negara, untuk pasukan, untuk saya, untuk banyak orang yang percaya saya.
“Ayah saya nasihat, bergembira saja, kalau boleh buat yang terbaik, buat yang terbaik untuk negara.
“Kekuatan saya dekat bukit, jadi hari-hari saya tahu peringkat ketiga Cameron Highlands, saya hari-hari ambil satu ke satu peringkat fokus, jangan fokus terlalu ke depan,kalau macam esok peringkat pertama, fokus dekat peringkat pertama untuk selamat, habis dekat depan, tak perlu fikir terlalu depan, fokus semua peringkat, bukan Cameron Highlands sahaja, saya pun sasarkan untuk tolong pasukan, dengan dekat bukit juga, jersi Asia juga”, kata Ren Bao.
Edisi 2023, Malaysia menamatkan perlumbaan di tempat ke 14 keseluruhan untuk kategori berpasukan dengan Muhd Nur Aiman Rosli yang kini sudah menyertai pasukan Terengganu Cycling (TSG) menjadi pelumba terbaik Malaysia di tempat ke 30 keseluruhan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.