comscore
Tumpuan :
Sukan

LTDL 2024 – Syritsa ungguli peringkat pertama, Aiman Rosli sarung jersi putih terbaik Asia

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PULAU LANGKAWI: Pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa gah mengungguli peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 (LTdL 2024) di Pulau Langkawi.

Saingan peringkat pertama yang membabitkan jarak laluan sejauh 96.5km itu menawarkan tiga zon pecut di Harbour Park (32.1km), Bayas (58.0km) dan Padang Matsirat (67.0km) selain satu zon pendakian di Look Out Point (61.2km).

Sebaik dilepaskan di Pekan Kuah, empat pelumba membuat pecahan awal dengan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhd Nur Aiman Rosli antara yang berada dalam kumpulan itu selain pelumba kebangsaan, Muhd Afiq Huznie Othman.

Nur Aiman Rosli sarung jersi putih

Laluan basah berbaki 80km perlumbaan tidak menghalang persaingan berlaku antara pelumba.

Menuju zon pecut 1 di Harbour Park, pelumba Euskaltel Euskadi, Xavier Canellas berjaya mendapatkan mata penuh, sementara Aiman dari pasukan TSG kedua.

Zon pecut dua di Bayas turut diungguli Cannellas dengan Aiman sekali lagi terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Memasuki zon bukit di Look Out Point, giliran pelumba Ara Skipp Capital, Tyler Tomkinson berjaya meraih mata penuh sebelum dia turut menggungguli zon pecut terakhir di Padang Matsirat.

Selepas kumpulan pecahan ditangkap peloton, giliran pelumba TSG, Andreas Miltiadis membuat gerakan secara solo, namun kembali ditangkap kumpulan pelumba berbaki 15km terakhir.

Sebaik Miltiadis ditangkap, ia petanda henjutan beramai-ramai menujut penamat di Pekan Kuah.

Dan peringkat pertama perlumbaan berjaya diungguli pelumba Astan Qazaqstan, Gleb Syritsa diikuti pelumba DSM Firmenich PostNL, Casper Van Uden.

Izzat Hilmi tamatkan saingan tempat ke 7

Sementara terbaik dalam kalangan pelumba tempatan, pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhd Izzat Hilmi Abdul Halil yang mengakhiri saingan di tempat ketujuh.

Syritsa turut cemerlang merangkul dua jersi utama, jersi oren pecut dan paling utama, jersi hijau pendahulu keseluruhan.

Jersi polka dot raja bukit pula diungguli Tomkinson sementara Aiman berjaya menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.

Peringkat kedua esok akan bermula di Arau menuju ke Butterworth sejauh 154.5km.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini