KUALA LUMPUR: Nada tidak puas hati terhadap keputusan pengadil Thoriq Munir Alkatiri diluahkan jutulatih dan pemain Lubnan selepas kekalahan 0-1 kepada Harimau Malaya pada aksi final Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Pemain Lubnan, Mohamad Haidar menyifatkan pengadil dari Indonesia seolah-olah memberi ‘hadiah’ kepada Malaysia selain dia turut mempertikai tindakan pengadil membabitkan insiden pada minit ke-78.
Katanya, pengadil sepatutnya memberhentikan perlawanan ketika itu yang mana salah seorang pemain Harimau Malaya mengalami kecederaan.
“Pada separuh masa kedua, pengadil seolah-olah memberi hadiah kepada Malaysia. Beliau (pengadil) membunuh perlawanan. Kami sudah beraksi dengan ‘fairplay’ sejak permulaan permainan.
“Beliau perlu mengawal perlawanan dengan lebih baik. Kami sudah menghentikan permainan kerana pemain mengalami kecederaan, namun kenapa beliau tidak menghentikan perlawanan?
“Apa pun ia perlawanan yang baik buat kami. Saya harap kami boleh memberikan aksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Insiden pada minit ke-78 itu mencetuskan suasana tegang apabila pemain Lubnan dilihat sudah memberhentikan permainan ketika salah seorang pemain Malaysia mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, Akhyar Rashid yang pada mulanya dilihat seakan memberi isyarat mahu mengeluarkan bola bertindak membuat hantaran kepada Arif Aiman Hanapi sebelum dia dikasari Khalil Khamis.
Kekasaran yang dilakukan Khalil ke atas Arif Aiman menyebabkan Lubnan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila dia dilayangkan kad kuning kedua.
Situasi itu turut mencetuskan suasana panas di bangku simpanan membabitkan pegawai kedua-dua pasukan.
Pengendali Lubnan, Miodrag Radulovic dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
“Kami tidak berpuas hati dengan kriteria (tindakan) pengadil dan kami datang ke kejohanan persahabatan dengan fairplay.
“Beberapa situasi tidak jelas, tetapi tidak mengapa ia berlaku dalam bola sepak,” kata Radulovic.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.