comscore
Tumpuan :
Sukan

MABA mohon bantuan kerajaan dapatkan pemain naturalisasi di Thailand

Yuen Fong (enam, kiri) bersama barisan penaja untuk Kejohanan Jemputan Antarabangsa Bola Keranjang Malaysia, pada sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) kini sedang giat bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha mendapatkan khidmat pemain naturalisasi sebelum Sukan Sea Thailand pada tahun depan.

Naib Presiden MABA, Datuk Lee Yuen Fong, berkata, usaha itu dilihat mampu membuka peluang lebih cerah untuk meraih pingat buat kontinjen negara.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan kerana ini bukan hanya usaha MABA sahaja. Kami sangat memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Saya boleh memberi jaminan, jika kami mendapat pemain naturalisasi, pasukan pasti mampu mara sehingga ke separuh akhir. Jika tidak, kami tidak akan mempunyai kelebihan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kejohanan Jemputan Antarabangsa Bola Keranjang Malaysia, hari ini.

Kejohanan anjuran MABA itu akan disertai beberapa kelab bola keranjang Malaysia dan China selain pasukan kebangsaan Macau bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Sementara itu mengulas lanjut persiapan untuk Sukan Sea Thailand, Yuen Fong berkata badan induk itu sedang berusaha sebaik mungkin untuk menghantar pasukan terbaik.

Katanya, MABA kini bakal merekrut beberapa muka baharu terdiri daripada pemain dan jurulatih bagi memantapkan lagi pasukan kebangsaan.

“Harapnya mereka dapat memberikan prestasi yang lebih baik berbanding Sukan Sea sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini