comscore
Tumpuan :
Sukan

Main petang bukan masalah buat JDT

FOTO: JDT / Facebook

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Super 2023 sekalipun beraksi buat kali pertama di sebelah petang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Menentang Kelantan FC di hadapan lebih 24,000 penyokong, JDT mudah merakam kemenangan 5-1 sekaligus kekal di puncak liga dengan 12 mata.

JDT selesa mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Diogo Luis Santo seawal minit ketiga, Endrick Dos Santos, minit ke-26 dan Fernando Forestieri, minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan menambah gol keempat melalui rembatan menarik Juan Muniz, minit ke-56.

Bagaimanapun tindakan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjatuhkan Ismaheel Akinade di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat, minit ke-69.

Peluang itu tidak dipersia-siakan pemain gantian, Leonardo Rolon untuk menembusi gawang JDT buat kali pertama musim ini.

Namun kebangkitan lewat yang cuba dijelmakan Kelantan FC bagaikan terpadam selepas Muhammmad Khairulsyahmi menghadiahkan sepakan penalti buat JDT ketika aksi berbaki sembilan minit untuk ditamatkan.

Pemain lincah, Arif Aiman Hanapi mudah menyempurnakan sepakan untuk memastikan kemenangan 5-1 memihak juara liga sembilan kali berturut-turut itu.

Loading...
Terkini