comscore
Tumpuan :
Sukan

Makassar baham Sabah di Likas

Aksi kapten Sabah FC Park Tae Su mengekang asakan PSM Makassar di Stadium Likas – Foto: Sabah FC/ Facebook

KOTA KINABALU: Hasrat Sabah FC menutup kempen Kumpulan H pada aksi Piala AFC dengan meraih tiga mata tidak kesampaian apabila dikejutkan kelab Indonesia, PSM Makassar 1-3 di Stadium Likas, malam ini.

Meskipun kemenangan itu tidak membawa pelawat  ke peringkat seterusnya, kepuasan tetap dirasai  Makassar, berjaya  membalas dendam kekalahan 0-5 ketika perlawanan pertama di Bali, Indonesia pada 5 Oktober lalu.

Awal perlawanan Sabah menguasai permainan, namun dikejutkan dengan jaringan pertama pelawat pada minit ke-15 menerusi jaringan Yakub Sayuri.

Makassar menjadikan kedudukan 2-0 selepas  hantaran lintang  Everton Nascimento terkena kaki pertahanan tuan rumah, Dominic Tan yang masuk ke gawang sendiri mengelirukan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas rehat Sabah berjaya merapatkan kedudukan  melalui tandukan Telmo Castanheira pada minit ke-72.

Begitupun usaha anak buah Datuk Ong Kim Swee menyamakan kedudukan menemui noktah  apabila  Makassar dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan minit ke-93 yang disempurnakan Everton.

Kekalahan itu tidak mengubah kedudukan Sabah yang sudah menempah tiket ke separuh akhir Piala AFC peringkat Zon Asean hasil empat kemenangan dan dua kekalahan dalam Kumpulan H.

Tamat enam perlawanan Sabah mengumpul 12 mata, di tangga kedua kelab Vietnam Hai Phong FC dengan 10 mata hasil satu lagi kemenangan 4-0  ke atas wakil Singapura, Hougang United  hari ini.

Makassar yang turut mengumpul 10 mata di tangga ketiga berbeza jaringan manakala Hougang tercorot dengan tiga mata

Loading...
Terkini