comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia atasi New Zealand 6-4

Pemain Malaysia, Azrai Abu Kamal menjaring gol kedua, keempat dan keenam ketika membantu Malaysia menundukkan New Zealand 6-4 pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di Stadium Azlan Shah, Ipoh hari ini. Foto NSTP

IPOH: Skuad hoki negara mencatat kemenangan kedua daripada tiga perlawanan di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah ke-30 di Stadium Sultan Azlan Shah, di sini apabila menundukkan New Zealand 6-4 sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, penyerang Speedy Tigers, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal melakukan jaringan hatrik (5’, 14’, 60’) dan masing-masing satu gol menerusi penyerang senior, Faizal Saari (2’), Azimuddin Syakir Kamaruddin (6’) dan Muhajir Abdul Rauf (52’).

Gol untuk pasukan New Zealand dijaringkan oleh Jake Smith (19’, Jonty Elmes (28’), Scott Cosslett (58’) dan Isaac Houlbrooke (60’).

Dalam dua perlawanan pertama sebelum ini, Malaysia tewas 4-5 kepada Pakistan dan menang 6-2 berdepan Kanada.

Keputusan ini meletakkan Malaysia kekal di tangga ketiga selepas tiga perlawanan manakala New Zealand di tangga keempat.

Pakistan kekal di tangga teratas dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan dan hanya terpisah dari segi jaringan dengan Jepun selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam perlawanan mereka hari ini.

Seperti sebelum ini, perlawanan awal berlangsung secara round robin dan hanya dua pasukan teratas layak ke perlawanan akhir.

Esok, Malaysia sekali lagi dijadual turun ke padang berdepan Jepun.

Perlawanan berlangsung jam 8.30 malam juga di Stadium Sultan Azlan Shah di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini