comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia belum pasti senaraikan Tze Yong

Ng Tze Yong dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang  ketika menyertai Terbuka Malaysia 10 Januari lalu. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Masih terlalu awal untuk merumuskan kedudukan Ng Tze Yong  dalam barisan skuad badminton negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, yang dijadual  bermula 13 hingga 18 Februari ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia, BAM, Datuk Kenny Goh, semua pihak diharap memberi sedikit masa kepada juara Terbuka Artik 2023 itu untuk menjalani proses pemulihan.

Tze Yong mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang menarik diri daripada pusingan pertama Terbuka Malaysia ketika ketinggalan 8-12 dalam set pertama, menentang Koki Watanabe dari Jepun pada 10 Januari dan terpaksa melupakan Kejohanan Terbuka India yang sedang  berlangsung.

Mengenai pemain yang bakal berada dalam skuad negara menghadapi BATC yang turut menjadi medan kelayakan Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung di Chengdu, China pada 28 April hingga 5 Mei depan, Kenny menyerahkan kepada barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badmiton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky untuk menentukannya.

“Setakat ini mungkin barisan kejurulatihan masih memerlukan masa jadi kami masih menunggu senarai pemain badminton negara sebab tarikh akhir ialah 26 Jan untuk membuat pendaftaran pemain.

“Kami sasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir sebab empat pasukan terbaik memang layak (ke Piala Thomas dan Piala Uber) dan mara secara merit,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan di Courtyard by Marriot Setia Alam di sini hari ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional  Lee Zii Jia ketika ini menjadi satu-satunya diketahui berada dalam senarai skuad negara apabila beliau mengesahkan penyertaan menerusi platform media sosial Team LZJ untuk bermain dalam acara berpasukan lelaki pada 11 Jan lepas.

Kejohanan BATC 2024 menyaksikan 15 pasukan dengan China, Indonesia, Jepun dan penyandang juara Malaysia sebagai empat pasukan teratas diikuti India, Taiwan, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan, Arab Saudi, Myanmar dan Brunei akan bersaing bagi mengesahkan tempat lebih awal pada Piala Thomas.

Pada edisi BATC 2022, Malaysia menjuarai acara berpasukan lelaki manakala pasukan wanita  berkongsi tempat ketiga dan keempat bersama Jepun.

Loading...
Terkini