IPOH: Hasrat skuad hoki kebangsaan meraih kemenangan kedua berturut-turut pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah (Lelaki) 2023, tidak kesampaian apabila tewas 5-7 kepada Namibia, petang tadi.
Mengejutkan Australia pasukan di tangga ke-14 dunia dengan kemenangan 8-2 pada sebelah pagi, pasukan bimbingan Mohd Hanip Che Halim cuba memberi saingan namun akur lawan berada dalam kelas tersendiri.
Separuh masa pertama Malaysia ranking ke-15 dunia ketinggalan 1-2.
Kecemerlangan Syed Syafiq Syed Cholan mencipta hatrik belum memadai buat skuad kebangsaan mengatasi pasukan di tangga ke-13 dunia itu.
Sebaliknya dua gol masing-masing menerusi Finch Dylan, Hansen Fagan dan Cody Van Dermerwe dan satu jaringan Britz John Paul mengesahkan kemenangan 7-5 Namibia.
Dua lagi gol skuad negara menerusi Faridzul Afiq Mohd dan Danial Asyraf Abdul Ghani.
Ini kemenangan kedua Namibia selepas mengalahkan New Zealand 3-2 pada sebelah pagi.
Esok giliran skuad wanita negara beraksi, pada sebelah pagi menentang Afrika Selatan diikuti pada sebelah petangnya berdepan Namibia.