comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia mulakan kempen Hoki Piala Dunia esok

ARUL (tengah) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemainnya.

INDIA: Seluruh peminat hoki pasti menantikan aksi pertama skuad hoki negara dan mengharapkan kemenangan pertama dengan menewaskan Belanda pada perlawanan pembukaan Piala Dunia Bhubaneswar-Rourkela di Stadium Birsa Munda, esok.

Tapi umum mengetahui ia bukan satu tugas mudah untuk dicapai oleh anak buah Arul Selvaraj.

Berdasarkan ranking, Malaysia kini berkedudukan ke-11 dunia berbanding Belanda yang menghuni ranking ketiga dunia itu sudah cukup menjadi sebab perlawanan akan menjadi sukar sepanjang tempoh 60 minit.

Belanda terpaksa melalui pusingan penentuan penalti shoot-outs dan kehilangan pingat emas empat tahun lalu di Piala Dunia Bhubaneswar kepada Belgium.

Manakala di venue sama, skuad negara dikritik hebat di peringkat kumpulan dan akhirnya terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-15 daripada 16 pasukan.

Ia harapan yang hampir mustahil tetapi Arul dan anak buahnya tidak pernah berputus asa sebaliknya mahu melakar sejarah mereka sendiri.

“Sudah tentu berdasarkan statistik tidak memihak kepada Malaysia dan kami tahu ia bukan perlawanan mudah apabila wisel dibunyikan.

“Namun begitu kami bersedia untuk menyahut cabaran dan mempunyai perancangan sendiri bagaimana untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan itu nanti,” katanya.

Berdasarkan rekod Persekutuan Hoki Antarabangsa, Malaysia kali pertama menentang Belanda pada Sukan Olimpik 1964 yang menyaksikan skuad negara tewas 0-2.

Malaysia bertemu Belanda sebanyak 12 kali dan daripada pertemuan itu skuad negara hanya menang sekali dan satu seri.

Kemenangan pertama itu diraih pada 1975 ketika Piala Dunia berlangsung di Kuala Lumpur yang mana Malaysia menang 2-1 ke atas Belanda dan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan keempat, pencapaian terbaik negara di peringkat itu.

Manakala keputusan seri 0-0 dicatatkan di Sukan Olimpik Sydney 2000 namun berdasarkan rekod terkini, ia tidak membanggakan yang mana Malaysia bermain dua perlawanan ujian pada 2019 dan berkesudahan tewas 2-6, 4-6.

Belanda antara pasukan hoki berbahaya di dunia dan berjaya memenangi trofi sebanyak tiga kali iaitu pada 1973, 1990 dan 1998 serta mara ke peringkat akhir pada dua edisi terakhir.

Jurulatih Belanda Jeroen Delmee berkata mereka tidak sabar untuk menentang India di peringkat akhir.

“Tapi Malaysia akan menyukarkan hidup pemain saya tetapi saya yakin perlawanan itu tamat dengan kemenangan Sabtu ini (hari ini),” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini