comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia patut bangga raih 10 mata walaupun gagal mara ke pusingan ketiga

Paulo Josue (tengah) menerima hadiah pemain terbaik perlawanan semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto: FAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya patut berbangga dengan pencapaian meraih 10 mata dalam Kumpulan D meskipun tidak layak untuk meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Penyerang skuad kebangsaan, Paulo Josue menjelaskan, banyak pasukan dalam kumpulan lain yang meraih jumlah mata seperti itu melepasi pusingan kedua kelayakan.

Dia yang juga pemain naturalisasi berkata, Harimau Malaya sudah melakukan yang terbaik sepanjang kempen kelayakan itu walaupun berakhir dengan detik mengecewakan apabila berada di kedudukan ketiga kumpulan.

 

Harimau Malaya duduki tangga ketiga apabila meraih 10 mata dalam Kumpulan D -Foto: FAM/ Facebook

“Saya fikir kami patut bangga dengan pencapaian dalam kempen kelayakan ini. Kami meraih 10 mata, saya fikir banyak pasukan dalam kumpulan lain dengan 10 mata sudah layak.

“Namun ia di luar kawalan kami. Jadi, kami harus berbangga dan kekalkan kerja keras untuk cabaran yang seterusnya,” katanya yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menentang Taiwan, malam tadi.

Harimau Malaya menutup kempen kelayakan dengan menewaskan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional, Buit Jalil, namun terlepas slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 apabila Kyrgyzstan terikat 1-1 menentang Oman.

Keputusan itu menyaksikan Oman muncul juara Kumpulan D dengan 13 mata, Kyrgyzstan (11 mata) di tangga kedua diikuti Malaysia (10) tempat ketiga dan Taiwan tanpa sebarang mata di kedudukan tercorot.

Beberapa pasukan lain termasuk Indonesia yang meraih 10 mata, Korea Utara (9 mata), China (8), Palestin (8) dan Kuwait (7) berjaya mara selaku naib juara kumpulan masing-masing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini