comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia tewaskan Korea Selatan, tempah pertembungan dengan New Zealand

Pemain Malaysia meraikan jaringan tunggal yang dihasilkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook ketika menentang Korea Selatan dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh. – Foto NSTP

IPOH: Skuad hoki kebangsaan mengesahkan pertembungan dengan New Zealand bagi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), hari ini selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 pada aksi terakhir, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers yang muncul juara pada edisi dua tahun lalu, menduduki tangga ketiga selepas lima perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.

Pada perlawanan malam tadi, penyerang negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol tunggal minit ketujuh yang juga gol pertamanya pada edisi kali ini.

Skuad bimbingan Sarjit Singh dilihat berusaha untuk menambah jaringan selepas itu, namun beberapa peluang terbaik yang diperolehi gagal menghasilkan gol.

Babak kedua menyaksikan aksi lebih agresif dipamerkan skuad negara namun seperti pada suku pertama dan kedua, mereka masih gagal menambah gol yang diharapkan.

Skuad bimbingan Sarjit memperoleh tujuh pukulan sudut penalti namun kesemuanya tidak berjaya dimanfaatkan.

Sementara itu, Jepun mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Kanada 3-1 pada aksi terakhir.

Keputusan itu menyaksikan Jepun menduduki tangga teratas dengan 13 mata hasil empat kemenangan serta satu seri mengatasi Pakistan di tempat kedua yang meraih 11 mata selepas seri 1-1 dengan New Zealand.

Sean Davis meletakkan Kanada di depan menerusi gol padang minit ke-42, namun Jepun bangkit dengan tiga gol selepas itu masing-masing menerusi Hiro Saito (minit-43), Tsubasa Tanaka (minit-56) dan Kosei Kawabe minit terakhir perlawanan.

Pakistan dan Jepun akan bertemu pada aksi final, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini