Tumpuan :
Sukan

Malaysia Tigers julang Piala Mirnawan 2024

Pasukan Malaysia Tigers meraikan kemenangan selepas memenangi perlawanan akhir katagori lelaki menentang pasukan Korea Selatan pada 3rd Mirnawan Cup Under 17 Men & Women di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kapten, Muhammad Safwan muncul wira apabila meledak gol kemenangan untuk membantu Malaysia Tigers muncul juara Piala Mirnawan 2024 selepas menewaskan Korea Selatan 3-2, hari ini.

Pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Korea terlebih dahulu di depan apabila Choe Dohyeon membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketujuh.

Bagaimanapun, Malaysia Tigers kembali bangkit pada babak kedua dengan Aferull Syah meledak dua gol pada minit ke-38 dan 48 untuk meletakkan pasukan mendahului 2-1.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Choe Dohyeon berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, Safwan muncul wira Malaysia apabila dia menyempurakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-56 untuk meletakkan pasukan kembali di depan sekali gus memenangi perlawanan.

Jurulatih Malaysia Tigers, Izwan Firdaus Ahad Tajuddin memuji semangat juang tinggi dipamerkan barisan pemainnya dalam perlawanan itu.

“Biarpun Korea mendahului, kami kembali bangkit dan di depan 2-1. Di sebalik jaringan penyamaan Korea, kami berjaya menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, dalam aksi final wanita, Jepun muncul juara selepas menewaskan Australia’s Queensland 3-2.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini