comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysian Tigers ke-13 terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di tempat ke-13 selepas menewaskan Jepun 3-2, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela, India, skuad negara bermula garang apabila berjaya membolosi gawang Jepun pada minit kelapan menerusi penyerang muda negara, Shello Silverius.

Gol yang dijaringkan anak jati Sabah itu berpunca selepas dia menampan kemas flik menerusi set piece pukulan sudut penalti untuk Malaysian Tigers mendahului pada suku pertama.

Memasuki suku kedua, Jepun dilihat cuba memperkemaskan corak permainan dalam misi mencari gol penyamaan pada aksi itu.

Jepun berjaya mendapatkan dua pukulan sudut penalti pada awal suku kedua namun kekebalan pertahanan negara menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dihasilkan.

Skuad negara terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk beberapa minit selepas kapten pasukan, Marhan Jalil dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan selepas Malaysian Tigers beraksi dengan 12 pemain di atas padang.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain Jepun apabila berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Tanaka Kaito pada minit ke-24 untuk keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Memasuki separuh masa kedua, skuad negara dikejutkan dengan jaringan pantas Jepun pada awal suku ketiga menerusi kapten pasukan, Tanaka Seren untuk skuad negara matahari terbit itu mendahului 2-1.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Malaysia bangkit menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi Shello pada minit ke-32.

Gol itu nyata membangkitkan semangat pasukan negara apabila kembali memimpin perlawanan selang dua minit kemudian menerusi pemain muda negara, Shamie Irfan Suhaimi untuk keputusan 3-2 kekal hingga tamat suku kedua.

Memasuki separuh masa kedua, skuad Jepun dilihat lebih mengamalkan corak serangan berbanding Malaysia yang dilihat lebih defensif.

Jepun terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila pemainnnya, Ohashi Masaki dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Malaysia.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan pasukan negara untuk menambah jaringan namun berjaya memenangi perlawanan itu dengan keputusan 3-2.

Kejayaan menewaskan Jepun menyaksikan Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan apabila menamatkan saingan Piala Dunia edisi lalu di kedudukan 15 dari 16 pasukan bertanding. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini