PUTRAJAYA: Sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2023 pada 10 hingga 12 November 2023, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan pasukan CryptoDATA RNF MotoGP telah menjalankan satu inisiatif pra-acara untuk memupuk bakat-bakat masa depan dalam dunia permotoran yang merangkumi pelbagai aspek.
Program yang dianjurkan oleh MAM ini telah menyediakan peluang unik kepada pelajar- pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mendapat pengalaman menyeluruh khususnya sukan permotoran 2-roda iaitu sesi interaktif bersama ahli pasukan serta pelumba muda Sepanyol, Raul Fernandez dari pasukan CryptoDATA RNF MotoGP.
Program turut yang disertai pelumba Negara Zulfahmi Khairuddin menyaksikan kehadiran lebih seratus pelajar dari IKBN, Jitra Kedah yang fokus kepada bahagian mekanikal dua roda serta pelajar IKBN Sepang.
Objektif utama program ini adalah untuk mendekatkan belia-belia atau pelajar-pelajar dengan Pasukan CryptoDATA RNF MotoGP yang dipimpin oleh Datuk Razlan Razali selaku Prinsipal pasukan yang mewakili Asia dan Asia Tenggara yang tunggal dalam kejohanan MotoGP.
MAM bersama pasukan CryptoDATA RNF MotoGP bakal bekerjasama dengan IKBN untuk mengenali pelajar cemerlang yang akan diberi peluang mempelajari lebih dekat bersama pasukan ini pada ‘Sepang Test 2024’ nanti.
“Program yang pertama diadakan bagi sukan permotoran 2-roda ini merupakan satu inisiatif untuk pelajar-pelajar IKBN di bawah naungan KBS bersama MAM dan pasukan CryptoDATA RNF MotoGP yang eksklusif.
Program seperti ini dapat memberi pendedahan dan inspirasi tentang sukan permotoran khususnya 2 roda dalam Kejohanan Motosikal Dunia,” kata Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Timbalan Presiden MAM.
Bagi Datuk Ahmad Razlan, beliau berharap program seperti ini dapat memupuk minat lebih ramai belia dalam sukan permotoran malah memberi inspirasi untuk mereka melihat Kejohanan Dunia sebagai sebuah peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kerjaya mereka.