comscore
Tumpuan :
Sukan

Mampukah Piala FA selamatkan Ten Hag?

MANCHESTER: Sekiranya Manchester United memenangi Piala FA, mampukah ia akan menyelamatkan karier pengendalinya, Erik ten Hag?

Bagi legenda kelab, Rio Ferdinand, beliau percaya Ten Hag akan tetap dipecat oleh United walaupun pengendali itu berjaya membawa pasukan memenangi Piala FA.

The Red Devils akan berdepan tetangga Manchester City pada final di Wembley, Sabtu ini.

Selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kelapan, penamat terburuk United di liga tertinggi itu, Ten Hag dan anak buahnya berpeluang menebus kehampaan dengan kejuaraan Piala FA.

Sekiranya United menang, mereka juga akan layak ke saingan Liga Europa musim depan.

Bagaimanapaun, Ferdinand tidak yakin kejayaan itu mampu memberi jaminan kepada Ten Hag untuk terus berada di Old Trafford.

“Menang atau kalah, saya tidak rasa Ten Hag akan berada di sini musim depan. Saya tidak bercakap mengikut apa yang saya mahu, tetapi saya percaya itu yang akan berlaku, dan yakin kelab akan mencari pengganti.

“Saya tidak rasa (memenangi Piala FA) mampu mengubah pandangan INEOS. Saya tidak bercakap dengan sesiapa tentang perkara ini, ini hanya anggapan saya, apa yang saya fikirkan,” kata Ferdinand.

Menurut Ferdinand, kecederaan pemain-pemain utama tidak boleh dijadikan alasan untuk persembahan buruk United musim ini.

“Kebanyakan pasukan mempunyai masalah kecederaan, mungkin tidak sama seperti Man United. Persembahan pasti akan menurun, tetapi ia tidak boleh mengubah corak permainan anda.

“Saya tidak tahu kami apa. Saya tidak tahu kami siapa. Siapa kami sebagai satu pasukan? Apa kami sebenarnya?” katanya.

Pemilik bersama baharu Man United, Jim Ratcliffe juga belum menyatakan sokongannya terhadap Ten Hag, sekali gus menimbulkan keraguan tentang masa depan pengendali dari Belanda itu di Old Trafford.

Bekas pengendali Chelsea, Graham Potter dan Thomas Tuchel dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford menggantikan Ten Hag.

Bos England, Gareth Southgate juga difahamkan berada dalam senarai pendek calon pengendali baharu Man United. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini